Kampung
Kubang Telaga ialah sebuah kampung yang terpencil dari bandar iaitu
kira-kira 20 batu ( 32 km ) dari bandar Kota Bharu. Kampung ini terputus
hubungan dengan kawasan luar kerana tiada kemudahan jalan raya.
Pada tahun 1950 , penduduk
kampung ini telah berjaya mendirikan sebuah sekolah atap berukuran
( 60 kaki X 20 kaki ) di atas sebidang tanah ( MG. 884 Lot 355 ) dipinjamkan
oleh Cik Embong bt. Bulat. Keramaian murid pada masa itu ialah 60
orang dengan 2 orang tenaga pengajar iaitu Cikgu Wan Daud bin Wan
Ab. Rahman dari Kota Bharu dan Cikgu Muhamad bin Awang Ngah dari Kg.
Gunong, Bachok. Sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Rakyat Kubang
Telaga dan bertahan selama setahun sahaja.
Pada tahun 1958, hasil
gotong-royong penduduk kampung ini, sebuah sekolah yang dinamakan
Sekolah Umum Rakyat Kubang Telaga telah ditubuhkan di atas sebidang
tanah yang dipinjamkan oleh En. Awang Teh bin Che Awang ( MG. 179
Lot 269 ) berukuran 60 kaki X 20 kaki ). Pembinaan sekolah ini hasil
sumbangan orang ramai. Hasil usaha pihak pentadbir, bilangan guru
yang mengajar juga telah bertambah 8 orang dan pada tahun 1962, 3
orang lagi guru ditambah menjadikan 11 orang semuanya.
Pada 5.4.1958, sekolah
ini telah didaftarkan menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan dan diambilalih
oleh kerajaan pada 1.6.1966 berserta guru-guru sekali.
Pada tahun 1961, pihak
Jawatankuasa Tadbir dan guru-guru serta ibu bapa telah berjaya membeli
sebidang tanah seluas 1.5 ekar dengan harga RM1050.00 daripada En.
Zakaria bin Awang untuk dijadikan tapak baru sekolah.
Pada tahun 1961 juga pihak
kerajaan telah mendirikan sebuah sekolah beratap nipah berdinding
papan tiada berpintu dan bercermin berukuran 180 kaki X 20 kaki )
di atas tapak tersebut. Pada tahun 1964 pihak kerajaan telah berjaya
mendirikan sebuah bangunan baru separuh kekal bagi menggantikan bangunan
lama. Bangunan tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1965. Sekolah ini
telah dinamakan Sekolah Kebangsaan Kubang Telaga dan kekal sehingga
sekarang.